Lapangan terbang selalunya
menyimpan seribu satu rahsia hati.Gembira dan duka,tangis dan tawa,serta
kegusaran yang bersarang dalam setiap hati.Ada yang gusar jika terlepas kapal
terbang,ada yang gusar jika wajah yang dinanti di pintu ketibaan tidak
muncul.Ada yang gusar melepaskan yang tersayang walaupun selalu dikatakan jauh
di mata tetapi dekat di hati.Setiap langkah di lapangan terbang pastinya penuh
hati-hati, kerana setiap diri itu akan meninggalkan atau ditinggalkan
Pagi itu perasaan bercampur baur.Ada
segelumit perasaan yang sungguh gembira tetapi juga tersimpan sedikit gentar.Ini
adalah pertemuan sekaligus perpisahan.
Wajah yang bakal terbang pergi
ditilik dalam-dalam mencari ukir di hujung bibir namun sedar ada yang tersirat
dalam bola mata.Walaupun segan mula bertapa di redup mata tetapi pelupuk mata
sedar mungkin saja ini peluang terakhir untuk menatap fizikal.Ada gelora dalam
jiwa, ada hati yang mulai terbit kerinduan walaupun jasad sang istimewa masih
ada.Kerana diri sedar, beberapa jam lagi yang di hadapan ini akan terbang jauh
mengejar impian.
Lalu kegusaran kembali mengetuk pintu
hati,gusar termangu sendirian.Percaturan antara hati dan minda semakin
hebat.Minda katakan, ini hanyalah sebuah lagi agenda hidup.Hati dalam ruang
yang semakin sesak di dasarnya sudah mula menongkah harapan, memujuk diri yang
memang kita boleh terbang setinggi langit tetapi takdir akan selalu menjadi
rahsia Tuhan.Lepaskanlah.Biar terbang bebas.
Bebaskah hati jika melepaskan?
Waktu terus berdetik,perlahan
atau pantas itu semua atas perasaan.
Rakaman foto tidak akan pernah
setara dengan rasa hati.Namun, foto akan terus ada mempamerkan keindahan pada
ruang waktu itu.Foto memerangkap momen dan menyulam setiap rasa-rasa yang tersisa.Foto
akan selalu ada dalam lipatan sejarah,walau hati berubah.
Kini sudah tiba waktu untuk segala
yang terakhir.Senyum,tangis dan peluk.Di hujung senyum ada tangis yang ditahan
di tubir mata, dalam dakapan erat yang terakhir ada bibir yang mengungkap rasa
sayang.Dalam hiba masih ada gusar.Berkira-kira untuk melahirkan cinta dan
kasih.Biarkan saja, kita tiada masa untuk berselindung di sebalik perasaan yang
mencengkam jiwa.
Kalau tidak dizahirkan mungkin
saja tiada lagi peluang dan ruang.
Gusar, pergilah jauh-jauh.Hati
ini tidak daya untuk mengizinkan lagi ruang untukmu.
Farrah,
15 April 2020