Terbang dan Gusar

02:25



Lapangan terbang selalunya menyimpan seribu satu rahsia hati.Gembira dan duka,tangis dan tawa,serta kegusaran yang bersarang dalam setiap hati.Ada yang gusar jika terlepas kapal terbang,ada yang gusar jika wajah yang dinanti di pintu ketibaan tidak muncul.Ada yang gusar melepaskan yang tersayang walaupun selalu dikatakan jauh di mata tetapi dekat di hati.Setiap langkah di lapangan terbang pastinya penuh hati-hati, kerana setiap diri itu akan meninggalkan atau ditinggalkan

Pagi itu perasaan bercampur baur.Ada segelumit perasaan yang sungguh gembira tetapi juga tersimpan sedikit gentar.Ini adalah pertemuan sekaligus perpisahan.

Wajah yang bakal terbang pergi ditilik dalam-dalam mencari ukir di hujung bibir namun sedar ada yang tersirat dalam bola mata.Walaupun segan mula bertapa di redup mata tetapi pelupuk mata sedar mungkin saja ini peluang terakhir untuk menatap fizikal.Ada gelora dalam jiwa, ada hati yang mulai terbit kerinduan walaupun jasad sang istimewa masih ada.Kerana diri sedar, beberapa jam lagi yang di hadapan ini akan terbang jauh mengejar impian.

 Lalu kegusaran kembali mengetuk pintu hati,gusar termangu sendirian.Percaturan antara hati dan minda semakin hebat.Minda katakan, ini hanyalah sebuah lagi agenda hidup.Hati dalam ruang yang semakin sesak di dasarnya sudah mula menongkah harapan, memujuk diri yang memang kita boleh terbang setinggi langit tetapi takdir akan selalu menjadi rahsia Tuhan.Lepaskanlah.Biar terbang bebas.

Bebaskah hati jika melepaskan?

Waktu terus berdetik,perlahan atau pantas itu semua atas perasaan.

Rakaman foto tidak akan pernah setara dengan rasa hati.Namun, foto akan terus ada mempamerkan keindahan pada ruang waktu itu.Foto memerangkap momen dan menyulam setiap rasa-rasa yang tersisa.Foto akan selalu ada dalam lipatan sejarah,walau hati berubah.

Kini sudah tiba waktu untuk segala yang terakhir.Senyum,tangis dan peluk.Di hujung senyum ada tangis yang ditahan di tubir mata, dalam dakapan erat yang terakhir ada bibir yang mengungkap rasa sayang.Dalam hiba masih ada gusar.Berkira-kira untuk melahirkan cinta dan kasih.Biarkan saja, kita tiada masa untuk berselindung di sebalik perasaan yang mencengkam jiwa.
Kalau tidak dizahirkan mungkin saja tiada lagi peluang dan ruang.

Gusar, pergilah jauh-jauh.Hati ini tidak daya untuk mengizinkan lagi ruang untukmu.

Farrah,
15 April 2020

You Might Also Like

0 comments