Jiwa dan Hati
00:43
Jujur aku tidak ada idea hendak menulis, nak mengarang ayat puitis apatah lagi.Cuma di hujung semester ketika minggu belajar inilah selalu saja ada perkara melintas di kotak fikiran,dan pastinya jauh tersimpang daripada hal berkaitan pelajaran. T_T Sekali ini, izinkan aku menulis tanpa haluan cuma hendak meluahkan rasa.
Waktu-waktu begini buat aku terfikir, kenapa aku begitu inginkan gred yang bagus,apa yang aku kejarkan sebenarnya.Iyalah ada hari aku rasa pentingnya punya CGPA yang cantik,dapat menyarung selempang istimewa di hari konvokesyen kelak.Tetapi, bila fikir kembali, itu sahajakah tujuan utama aku di universiti ini?Kemudian ada hari rasa macam benarlah kata-kata orang bahawa waktu di universiti perlu dimanfaatkan untuk terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan, sukarelawan dan waktu terbaik untuk melebarkan jaringan kenalan.Benar.Keseimbangan antara dua sisi itu adalah yang terbaik.
Sudah di bulan Disember, waktu tepat untuk aku lakukan sedikit refleksi diri.Tahun ini aku belajar banyak sekali, yang aku fahami secara teori sudah jadi realiti.Rasanya? Perasaanya jelas, seolah-olah tinta di kertas sudah melayang di awangan membentuk kenangan.
Aku setuju dengan kata-kata Rainer Maria Rilke
Seperti itu juga kata-kata Syed Naquib Al-Attas yang memberikan definisi pengetahuan sebagai “the arrival of meaning in the soul as well as the arrival of soul at meaning”. Kita akan meletakkan nilai sesuatu di tempat yang sepatutnya apabila jiwa kita mencapai kefahamannya.
Okay biar aku jelaskan tentang dua kata-kata ahli akademik dan falsafah ini dalam kata ringkasnya, kefahaman tentang sesuatu keadaan itu akan sampai apabila kita telah melalui perkara itu sendiri atau dalam analoginya "ketika kefahaman itu tiba di stesen yang tepat,mengetuk pintu hati,maka hanya ketika itulah kita dapat menerima dengan selapangnya,tanpa apa-apa lagi persoalan".Jika pada waktu ini ada kegusaran dalam diri kita yang membuatkan kita terkadang bungkam kerana tiada jawapan,jangan terus memaksa diri untuk menjalinkan titik-titik untuk melakar sebuah kesimpulan kerana mungkin dalam perjalanan hidup ini,pada tahap ini,bukan waktu yang tepat untuk kita capai jawapan yang sempurna.
Akan tiba waktunya,percayalah.Maka dalam perjalanan panjang ini,silakan untuk terus kekal dalam bulatan pertanyaan itu tetapi pada masa yang sama jangan disekat keinginan untuk membebaskan diri daripada bulatan itu kerana lambat laun tanpa kita sedar kita akan tiba di stesen 'kefahaman' itu, maka terlerailah bulatan itu.Yakinlah dalam hatimu.
Izinkan aku berkongsi rasa, jika ada yang kamu rasakan benar pada saat dan ketika ini,lakukanlah.Tidak akan ada waktu yang lebih tepat melainkan pada ketika hati dan jiwamu yakin.Tetapkanlah dan lakukanlah apapun ia.Pastinya selagi tidak bercanggah dengan agama dan undang-undang.
Moga kita tiba di stesen yang sepatutnya |
Manusia, kita seringkali takut dengan risiko.Jangan gentar, setiap perkara ada risikonya.Terpulang jika kamu mahu terus simpan rasa hati itu,mahu ditangguhkan beberapa tahun lagi,mungkin itu waktu yang paling tepat.Ya terpulanglah, kita semua ada perjalanan hidup sendiri.Cuma pintaku, jika telah bulat kata hati itu,lakukanlah.
p/s : Terpulang pada tafsiran masing-masing, kita semua pada stesen berbeza dalam hidup ini.Harapnya penulisan ini dapat membantu menenangkan hati sepanjang perjalanan menuju stesen impian.
0 comments