Sambal Tuk Tuk
02:23Assalammualaikum,
Alhamdulillah penghujung tahun ini kegembiraan datang semula dalam caranya tersendiri.Hidup kita pastilah bukan yang manis-manis sahaja tetapi kebahagiaan itu kita sendiri yang perlu cari dan nikmati.Mungkin kebahagiaan datang dalam sekecil-kecil perkara seperti menikmati tenangnya senja ataupun menulis dalam jurnal.Punca kebahagiaan kita semua berbeza.
Salah satu kebahagiaan utama adalah makanan.Mak selalu mengingatkan saya agar memasak perkara-perkara mudah seperti mi goreng atau nasi goreng.Tetapi,jujurnya saya lebih suka menikmati masakannya dan acapkali ketika menemaninya memasak di dapur Rumah Mak, pastinya mak akan mengarahkan untuk mengupas bawang putih dan menghiris bawang merah.Itu sahaja skil saya yang paling okay, hahaha.
Namun, apa yang paling membahagiakan adalah apabila saya mencuba-cuba membuat Sambal Tuk Tuk yang saya belajar daripada blog Hanis Zalikha atau ibunya, Puan Nani Rostam kerana saya adalah pembaca tegar blog mereka ketika di sekolah menengah.Kerana saya rasakan resepinya begitu mudah dan saya juga pencinta ikan bilis,maka saya berikan sedikit Sambal Tuk Tuk pada mak.
Mak mengatakan betapa dia suka akan sambal itu dan sedap dimakan begitu saja dengan nasi panas.Maka berbunga-bungalah hati saya walaupun itu hanyalah pencapaian kecil, besar maknanya untuk saya.
Tahun lepas,ketika ulang tahun terakhir mak yang ke-68 tahun (yang pastinya tidak saya jangkakan sebagai yang terakhir kali), selera makan mak sudah susut maka saya membuat sambal ini untuk mak.Ketika menghulurkan sambal,saya beriya-iya sungguh menyuruh Mak merasa sambal itu kerana bimbang mak tak akan jamah dek kerana seleranya yang berkurang.Maka,itulah sambal Tuk Tuk yang terakhir buat mak.
Ramadhan kali ini Uncle Daniel yang juga pencinta sambal Tuk Tuk meminta saya menyediakan sebekas sambal untuknya sebagai pembangkit selera untuk dijamah ketika sahur.Penghargaan sebeginilah yang membuat saya bahagia sendiri.Kebahagiaan itu sebenarnya hadir kerana ketika menyediakan sambal ini ingatan utamanya adalah pada mak.
Mungkin kebahagiaan itu kita sandarkan pada kerinduan.Maka apa-apa saja perkara yang mengingatkan kita pada seseorang yang kita rindui dan sayangi,hal itulah yang menghidupkan kebahagiaan dalam diri kita.
Tidak lengkaplah penulisan kali ini jika tidak saya kongsikan resepi Sambal Tuk Tuk.Mungkinkah kamu juga menemukan kebahagiaan pada sambal ini?
Bahan- bahan
Ikan bilis
Bawang merah/Bawang besar
Bawang putih
Cili merah
Cili hijau
*kuantiti terpulang
Cara-cara
1.Belahkan bawang merah kepada empat bahagian,bawang putih cukup sekadar potong dua
2.Hiriskan cili merah besar-besar,cili hijau tak perlu potong pun tak apa :)
3.Gorengkan bahan-bahan ini dengan sedikit minyak (tidak perlu terlalu lama,sekadar hingga warna bertukar keperangan dan naik bau)
4.Angkat dan toskan minyak,ketepikan
5.Goreng ikan bilis (kalau suka garing,biarkan lama sikit)
6.Masukkan kesemua bahan yang digoreng dalam lesung batu dan ambil sedikit ikan bilis,
apalagi silalah tumbuk sekarang :p
7.Perah limau kasturi atau lemon dan gaulkan (jika anda suka)
8.Gaul sambal itu dengan ikan bilis yang sudah digoreng tadi*
*Jika anda nak tumbukkan kesemua ikan bilis dengan bahan-bahan utama pun boleh,cumanya saya lebih suka jika ikan bilis diletakkan on top of sambal.Ikan bilis yang kita dah tumbuk tadi menimbulkan rasa-rasa rangup dan ditambah pula ikan bilis yang garing
Sekian,perkongsian saya kali ini.Cubalah,mungkin sambal ini akan jadi kegemaran anda juga. 😆😄
0 comments