Abadi
00:23Antara memori yang abadi di Rumah Mak.
Lantai marmar rumah mak pagi itu sejuk sekali rasanya,selimut itu ditarik rapat-rapat menyelubungi badan.Seketika kelibat mak mundar-mandir di ruang tamu memerhatikan cucunya yang belum bangun.Nak bangun,alahai ruginya rasa tak menikmati pagi yang nyaman begini.Kalau tak bangun,rasa bersalah pula sebab mak dah bangun.Memerhatikan di tepi aku,sepupu dan adik-adikku yang masih juga lena - aku juga kembali tidur.Namun,apabila tersedar mak masih juga menjenguk ke ruang tamu,dengan malas-malas aku bangun melipat selimut dan letakkan di suatu sudut.Nanti bila semua dah bangun barulah kami semua ubahkan selimut yang dilipat itu ke sebuah bilik lain.
Langkahku terus ke dapur kerana selalunya hujung minggu begini ketika tidur di rumah mak,menu utama ketika pagi pastilah cucur ikan bilis dan nasi goreng telur.Rumah mak masih gunakan cerek yang apabila air mula mendidih,ia mula menghasilkan bunyi yang nyaring-menyedarkan si pembancuh teh yang mulai leka.Walaupun seingat aku,ada pemanas air elektrik tetapi untuk membancuh teh o panas,mak lebih gemar gunakan cerek keemasan,tetapi telah pudar warnanya.Untuk mengangkat cerek,kain perca batik dilipat-lipat sebelum dililit pada pemegang cerek.Panas sekali!
Nasi goreng telur mak sangatlah mudah disediakan,tetapi rasanya enak dan menjadi rebutan cucunya,termasuklah anak-anaknya.Walaupun seringkali mak menunjukkan bagaimana untuk menggoreng nasi,entah mengapa aku masih belum dapat menghasilkan nasi goreng sesedap air tangan mak.Hal yang membuatkan aku tidak takut mencuba pastilah kerana Mak selalu mendorong dan meyakinkan yang kita mampu lakukan apapun yang kita ingin tanpa jemu juga tanpa nada sinis yang bisa mematikan niat siapapun itu.Sebab itu apabila mak nyatakan yang beliau suka sambal ikan bilis yang aku cuba-cuba buat,alangkah bahagia rasanya - menghadirkan senyum setiap kali terbayang pujian yang mak berikan.
Rumah mak,tanpa sosok mak - hilanglah serinya.Benar,yang menghidupkan rumah adalah insan yang dirinya penuh kasih sayang.Selama mana insan itu hidup,mengalirlah kasih sayangnya pada semua yang bertamu di teratak kecilnya.
Pergi membawa rindu,depa tangan mak menyambut setiap nyawa yang hadir daripada rahimnya,pulang dengan seribu satu perasaan.
Melihat rumah mak hari ini,saya terbayang setiap kegembiraan yang selalu bercambah apabila dikongsi dengan mak.Benarlah,bahagia itu hadir apabila insan yang bermakna dalam hidup kita turut serta berbahagia.Masih jelas ingatan saya ketika bersemangat sekali berkongsi jadual waktu kelas ketika darjah satu sebaik saja pulang daripada sekolah rendah.Entahlah kan,apalah istimewanya pada jadual waktu kelas.Istimewanya ketika mak turut tersenyum melihat saya teruja berbaju sekolah.Kemudian setiap kali mengambil keputusan peperiksaan,selain ummi dan abah,destinasi pertama yang ingin saya tuju pastinya rumah mak.Saya tahu berapa pun pencapaian saya,beliau pasti mengucapkan tahniah dan terpancar sinar kebahagiaannya.Setelah saya melangkah alam universiti,setiap kali sebelum pulang pastinya mak berusaha sediakan bekal.Bekal itu selain mengisi perut sepanjang perjalanan dalam ETS,tujuan utamanya adalah untuk mengubat rindu.Bekal kasih sayang istimewa daripada mak.
Mak,terima kasih atas kasih sayangmu.Dalam ketiadaanmu,masih ada hadiah istimewa yang engkau titipkan,kasih sayang yang tidak berpenghujung.Momen indah bersamamu yang hadir di sela-sela memori akan terus jadi yang paling manis.
Al-fatihah untuk Mak (nenekku),Khalijah binti Halit.
catatan 19/1/2021 -FarrahWZ
Hari ini setelah mengetahui pemergian seorang ibu dan anak perempuannya yang kelemasan di tasik,saya kembali terfikir-fikir bagaimanakah pengakhiran kita semua nanti.Pasti ada yang menangisi tetapi hal yang lebih besar adalah saya takut memikirkan dalam cara bagaimana kita akan dijemput Ilahi.Itu semua pasti jua akan berlaku - ajal maut,rezeki dan jodoh semua dalam aturan Tuhan yang Maha Mengetahui.
Yang fana adalah waktu.Kita abadi :
memungut detik demi detik,merangkainya seperti bunga
sampai pada suatu hari
kita lupa untuk apa.
"Tapi,
yang fana adalah waktu,bukan?"
tanyamu.Kita abadi.
-Sapardi Djoko Damono (1978)
Secara harfiahnya kita tidak abadi,mungkin hanya perasaan itu yang abadi.
Al-fatihah pada semua yang kita sayang dan telah pergi.
Semoga dengan perasaan yang masih abadi ini kita titipkan doa pada yang telah bersemadi.
0 comments