Majalah Yang Patut Ada Dalam Genggaman Anda
22:18
Assalammualaikum,
Majalah ataupun dikenali sebagai "Magazine" dalam bahasa Inggeris adalah satu naskhah yang berinformasi.Sarat dengan kandungan,yang pastinya tidak habis diterokai hanya dalam satu hari.Pelbagai fakta dan info baru daripada headline-nya sampailah ke kotak-kotak kecil dalam layout majalah itu juga terisi dengan ilmu yang baru.
Kalau dulu,sewaktu di sekolah rendah seringkali Asuh dan Kuntum jadi peneman,bahan bacaan kanak-kanak.Tak sempat beli keluaran bulan ini?Tak ada masalah,lihat saja dalam kelas pasti ada rakan yang membimbit majalah Kuntum.Malah ada yang ketawa membaca siri komik Godaan Syaitan dalam majalah Asuh.Walaupun hati meronta-ronta nak membaca sama kisah si syaitan gemuk dan kurus yang tidak pernah penat menhasut, harus juga disabarkan untuk menunggu giliran bagi meminjam majalah itu.
Sekarang di sekolah menengah,kala umur sudah menjangka belasan tahun, minat membaca majalah tertumpu ke jenis dan tema yang lain pula.Berbagai-bagai majalah yang boleh menjadi pilihan,yang bertemakan hiburan sehinggalah ke majalah landskap dan hiasan yang pasti menjadi idaman ibu-ibu untuk menghias dekorasi rumah supaya setanding dengan rumah-rumah cantik yang dipaparkan dalam majalah.Manalah tahu suatu hari rumah sendiri terpilih masuk,kan.
Ada 3 majalah pilihan yang pasti menjadi bahan bacaan saya setiap bulan.
SOLUSI
Majalah yang pertama adalah Solusi.Padat dengan penyelesaian kepada masalah kita yang berkaitan dengan cara hidup Islam.Kalau baca tu,terasalah macam nak bermuhasabah diri sikit :)Memang best majalah ni,kata-kata yang digunakan amatlah menarik seperti mengajak kita dengan cara yang lembut untuk segera berbuat kebaikan.Ruang 'Beduk Diketuk' yang penuh dengan pengajaran serta diselit dengan dialog-dialog kehidupan seolah-olah membuatkan kita menghayati sisi kehidupan seseorang sehingga membuatkan kita terfikir dan meng-refleksikan diri kita sendiri.
Ketika saya menghadapi jalan yang sukar untuk memilih yang terbaik,majalah SOLUSI seolah-olah faham dan ia benar-benar memberikan solusi buat saya.Kita pasti tersenyum apabila sebuah soalan yang terawang-awang di minda tiba-tiba menemukan jawapan apabila membaca majalah SOLUSI.Alhamdulillah, majalah sebegini adalah wadah yang baik untuk mengeratkan hubungan kita dengan Allah.
Malahan cara penyampaian dilakukan dengan elok dan pelbagai.Ruangan komik 'hitam putih' dan ruangan 'angguk gelek' di mukasurat terakhir pastinya menjadi destinasi pertama saya setelah mendapat majalah Solusi yang terbaru.Majalah Solusi juga memperkenalkan ruangan baru seperti "Betulkan yang Biasa dan Biasakan yang Betul"Ia mengajar kita untuk beribadah sambil berilmu.
DEWAN SISWA
Majalah Dewan Siswa sangatlah bagus buat pelajar sekolah menengah.Sesuai sekali sebagai rujukan tatkala menulis karangan bahasa Melayu.Juga ada sisipan buat pelajar PT3 dan SPM.Subjek-subjek teras serta beberapa subjek elektif seperti Akaun dan Biologi turut ada sebagai nota tambahan untuk pelajar mengulangkaji.Bahasa Melayu yang ditulis dalam majalah ini adalah sangat bagus dan ada ungkapa-ungkapan menarik yang dapat digunakan dalam karangan kita.
Untung sabut timbul,untung batu tenggelam.Mungkin ketika bersusah-payah mengarang dalam dewan peperiksaan,peribahasa dan ungkapan menarik yang menjadi santapan minda ketika membaca Dewan Siswa menjengah ke otak,dapatlah markah lebih!
EH!
EH! ini bukan calang-calang majalah hiburan yang hanya berfungsi untuk membuatkan kita peka dengan fesyen terkini tetapi juga sebuah majalah yang amat menarik susun atur imej dan teksnya.Malahan ayat-ayat yang diguna begitu gramatis dan membuatkan kita tertarik untuk membacanya.Cara seseorang pengarang itu menggambarkan kecantikan seorang wanita jelita atau gaun indah berlabuci sangat unik dan versatile (serba boleh).
Gaya bahasa yang sangat cantik bagi saya kerana pengarang berjaya menggambarkan sesuatu dengan baik dalam bahasa Melayu kerana seringkali kita enggan menulis dalam bahasa Melayu kerana risau tidak dapat meluahkan perasaan sebenar dengan ayat yang puitis dan menarik.Contohnya dalam pengiklanan sesuatu produk kosmetik EH! berjaya meyakinkan keberkesanan sesuatu produk dengan ayatnya yang menarik.Penerangan produk yang asalnya bahasa Inggeris dapat diterjemahkan ke bahasa Melayu dengan baik sekali.
EH! berjaya menukar persepsi negatif saya dan kini saya tidak teragak-agak untuk menggunakan bahasa Melayu,bahasa kebangsaan untuk menulis.EH! adalah rujukan utama dalam menulis bahasa Melayu dalam gaya moden namun masih mengekalkan kedaulatan bahasa Melayu.
Jumpa lagi minggu-minggu seterusnya,dengan isi terbaru dan menarik.
Eh!Dah macam majalah pula.
Selamat bercuti kawan-kawan!
FarrahW
0 comments