Rindu
01:05Assalammualaikum,
Malam ini tentang rindu.Rindu sekali dengan Mak.Terbayang-bayang wajah Mak,pakaian dan tudung yang selalu Mak sarungkan.Gaya bahasa dan senyum Mak.Senyum yang tak pernah pun terlintas di minda ini,yang bakal dirindui.Selalunya perkara-perkara kecil inilah yang kita terlepas pandang kan.Tentang manisnya senyuman orang-orang yang kita sayang.Kadang-kadang ambillah waktu sejenak hanya untuk merakam memori itu dalam hati,lihat wajah mereka yang kita sayang ketika mereka tersenyum.Mungkin di sela-sela percakapan atau ketika mereka tertawa.Mungkin inilah yang selalu disebutkan rindu yang tak terungkap,ingin sekali mendakap yang dirindui tetapi sudah tiada.Bila berfikir-fikir tentang orang yang sudah pergi, seolah-olah susah untuk akal kita terima yang mereka sudah tiada,yang jasad itu sudah tiada.Di sinilah akhirnya manusia perlu meletakkan redha itu pada Tuhan.Mempercayai bahawa kita semua di dunia akan akhirnya pulang.Ya, tidak mudah tetapi sesuatu yang pasti.Rindu sekali.
Melihat gambar-gambar dalam simpanan saya,sungguh kurang gambar saya dengan Mak.I have no decent photo with Mak,Mak and Me together.Mungkin perlu cari lebih lagi,mungkin terselit dalam ribuan simpanan gambar.Mungkin.
Kadang kan, masa yang bermakna dengan yang tersayang adalah momen-momen yang biasa.Tidak perlu sambutan hari lahir atau apa-apa perkara istimewa untuk merayakan masa bersama.Kalau pulang ke rumah menaiki ETS,saya selalu sampai jam 1-2 pagi.Ummi dan abah akan ambil,kadang-kadang bersama Saffa.Sepanjang perjalanan,abah akan tanya sama ada mahu singgah makan - Nasi kandar atau Tomyam?( Sebab itu saya selalu tak kisah kalau tak makan atas train,sampai nanti mesti makan hehe) Itu antara dua pilihan wajib.Kemudian abah akan tanya lagi, "Farrah nak buka cermin kereta,supaya dapat angin luar?".Lagu yang diputarkan daripada radio,selalunya sama, Sinar FM.Sepanjang perjalanan malam yang dingin dan ditemani lagu-lagu itu selalunya kami tak berbicara pun.Mungkin masing-masing melayan perasaan.Ummi selalunya waktu ini sudah terlalu mengantuk,tetapi tetap datang menjemput :)
Sesampainya di rumah, selalunya saya akan menonton filem yang sudah sedia ada dalam bahagian rakaman,pastinya di 'locked' lagi supaya adik-adik tidak terpadam atau sengaja padam untuk memberi ruang merakam episod kegemaran mereka.Selalunya, 'Father of the Bride 2' adalah filem wajib.Walaupun sudah berulang-ulang kali menonton,tetap membawa senyum.Ummi duduk di sisi bersama-sama menonton,padahal bukanlah terlalu fokus matanya pada tv,sekadar menemani.Bersembang tentang perkara-perkara yang selalu kami ceritakan melalui telefon,tetapi pasti lain kan rasanya bila berhadapan.Lebih seronok begitu.Waktu-waktu begini yang akan selalu dirindui.
Baru-baru ini kami menonton tiga filem arahan Yasmin Ahmad sekaligus.Gubra,Muallaf dan Mukhsin.Begitu memberi kesan pada hati,dekat dengan kehidupan masyarakat Malaysia.Kita meluangkan masa dengan yang tersayang dalam cara apapun adalah masa yang berharga.Ketika menonton Mukhsin, abah menceritakan kenangannya di kampung dahulu memanjat pokok.Ah,kenangan dahulu selalu saja indah.Nampak sinar di matanya, menceritakan waktu kanak-kanak yang bebas.Bahagian kegemaran saya dalam Mukhsin pastinya ketika Orked menari di tengah-tengah ibu dan bapanya.Bahagia.Kita semua mencipta bahagia dengan cara sendiri.
Saya nukilkan semuanya di sini,kerana kelak saya tahu akan datang waktu yang terlalu rindu.
Terlalu rindu.
0 comments